Friday, August 8, 2008

Kelas kami di dalam akhbar Sinar Harian (Jumaat 08.08.08)

Lawatan dua dalam satu beri semangat baru

KOTA BHARU – Lawatan dua dalam satu yang diadakan Kelas Integrasi Pendidikan Khas (Bermasalah Pembela-jaran) Sekolah Kebangsaan (SK) Dewan Beta memberikan satu semangat baru kepada muridnya yang juga merupakan kanak-kanak istimewa.

Guru pendidikan khas, Normahana Mohd Nawawi berkata, program itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada empat murid bersama ibu bapa masing-masing mengenai dunia pendidikan khas.

“Ini merupakan lawatan julung kali yang diadakan di Pusat Perkhidmatan Pendi-dikan Khas Kelantan (3PK) Lati, Pasir Mas, dan pada masa yang sama kami turut meraikan hari kelahiran keempat-empat pelajar tunggal kami itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, dalam lawatan itu, pihaknya ingin memberikan gambaran yang jelas kepada ibu bapa kanak-kanak istimewa itu berkenaan perkhidmatan yang disediakan jika anak-anak mereka dihantar ke sekolah khas.

Normahana berkata, ketika di sana, satu taklimat telah disampaikan Pegawai Audiologi, Hasnah Mamat dan Nik Noor Azman Mohd Yusoff mengenai sistem pembelajaran dan kaedah pengajian di sana.

Menurutnya mereka juga dibawa melawat beberapa buah pusat perkhidmatan yang terdiri dari play area, toy library, bilik audiologi dan bilik pertuturan.

“Kesemua ibu bapa yang hadir berpuas hati dengan penerangan yang telah diberikan dan ini memberikan keyakinan kepada mereka apabila menghantar anak-anak untuk mengikuti pembelajaran di sekolah khas yang ada,’’ katanya.

Pada sebelah tengah harinya pula, kesemua murid diraikan dalam satu majlis yang ditaja khas oleh Restoran New Horizon Garden.

“Majlis ini diadakan khas bagi meraikan sambutan hari jadi mereka di mana pada majlis tersebut, mereka diraikan oleh ibu bapa masing-masing dan diiringi ucapan kata-kata semangat kepada anak-anak mereka,’’ katanya.

Beliau mengharapkan lawatan dua dalam satu itu dapat memberikan kesedaran kepada ibu bapa supaya tidak mensia-siakan masa depan anak-anak mereka, kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah khas.


Cetak artikel | Emel artikel ini

sila klik di http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story1819091.asp untuk edisi akhbar

No comments: